Mybzness info
Sep 4th, 2008 by zaharaini
SERAI
Pokok serai adalah sejenis tumbuhan yang hidup meliar namun terdapat juga yang ditanam oleh sesetengah orang di kebun-kebun. Nama saintifik bagi serai ialah Cymbopogon citratus (D.C) Stapf dan ia adalah daripada Famili Gramineae. (Rujuk rajah 2 di helaian 10). Di dalam masyarakat Melayu, serai sering digunakan untuk menambahkan perisa di dalam sesetengah makanan bagi menambahkan keharuman dan kelazatannya. Bagi tujuan perubatan tradisional pula, terdapat tiga bahagian utama yang boleh dimanfaatkan iaitu akar, daun dan batangnya.
Bagi kegunaan tradisi, serai digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit seperti sakit kepala, sengal-sengal (rheumatism), sakit perut dan masalah membuang air kecil. Bagi mengubati sakit kepala dan sengal-sengal, daun serai haruslah ditumbuk lumat dan diletakkan di dahi (bagi sakit kepala) atau bahagian-bahagian tubuh yang terasa sengal. Bagi sakit perut dan masalah membuang air kecil pula, daun dan akar serai haruslah direbus dan diminum air rebusan tersebut. Selain daripada itu, batang serai pula boleh digunakan untuk menambahkan keharuman di dalam makanan. Di samping itu juga, ekstrak daripada akar serai boleh digunakan sebagai pewangi di dalam syampu dan minyak wangi. Ia juga boleh digunakan di dalam air mandian bagi menyegarkan tubuh badan.
Sekiranya ditinjau dari sudut kajian saintifik pula, didapati bahawa pokok serai juga turut mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen. Daripada kajian yang dijalankan juga didapati bahawa haruman dan aroma yang terhasil daripada pokok serai ini sebenarnya disebabkan oleh limonena dan campuran citral yang terkandung di dalamnya. Selain itu, ahli-ahli sains juga telah dapat mengasingkan dua jenis bahan kimia lain daripada pokok serai iaitu campuran Cymbopogonol dan Cymbopogone.
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/khairul.htm